Kepentingan Mengamalkan Nilai-Nilai Murni Dalam Kehidupan
Masyarakat
kita pada masa ini seolah-olah tidak lagi menpedulikan kepentingan mengamalkan
nilai-nilai murni dalam kehidupan yang seharusnya ada dalam diri kita
masing-masing. Penerapan nilai murni dapat mempengaruhi diri setiap orang itu
menjadi seorang yang berbudi bahasa. Persoalannya, apakah kepentingan penerapan
nilai-nilai murni dalam kehidupan kita?
Antara
kepentingan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan termasuklah
mengeratkan perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia. Hal ini dikatakan demikian
kerana setiap rakyat di Malaysia saling menghormati, menyayangi sesama anggota
masyarakat dan bertoleransi dalam kehidupan. Kita haruslah menghormati adat,
kepercayaan dan pegangan kaum lain tanpa ada buruk sangka. Tamsilnya, setiap
masyarakat di Malaysia bebas mengamalkan agama dan anutan masing-masing seperti
Islam, Hindu, Buddha dan Kristian tanpa sebarang perselisihan faham. Oleh itu,
nilai murni hormat menghormati yang menjadi budaya dan darah daging dapat
mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat di Malaysia.
Selain itu,
kepentingan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan adalah dapat
merancakkan perkembangan ekonomi negara. Hal ini terjadi kerana setiap rakyat
tekun dan bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk menyara kehidupan keluarga
dengan mencari rezeki yang mencabar pada masa ini. Seleruh lapisan masyarakat
majmuk di Malaysia terlibat dalam pertumbuhan ekonomi negara seperti dalam
bidang perindustrian, pentadbiran kerajaan dan perniagaan. Sebagai contoh,
ketekunan rakyat Malaysia memberi kesan positif apabila ekonomi Malaysia
berkembang dari semasa ke semasa. Tegasnya, nilai ketekunan dalam kalangan
masyarakat dapat mengembangkan ekonomi Malaysia.
Selain
menrancakkan perkembangan ekonomi negara, nilai murni dalam kehidupan dapat
mengekalkan kestabilan politik dalam negara. Hal ini dikatakan demikian kerana
setiap rakyat di Malaysia hormat pada prinsip bermoral dan beretika. Kita perlu
berbudi bahasa apabila berbual-bual, saling mengambil berat sesama jiran
tetangga, patuh pada undang-undang negara, mentaati dan menghormati ibu bapa.
Buktinya, setiap rakyat Malaysia menjalani kehidupan seharian dan berpegang
teguh kepada prinsip Rukun Negara yang diamalkan sejak bangku sekolah. Oleh
itu, nilai-nilai murni yang diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat dapat
mengekalkan kestabilan ekonomi dalam negara.
Sudah terang
lagi bersuluh, jelaslah bahawa nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat amat
penting bagi menjamin kesejahteraan hidup sejagat. Masyarakat yang cinta akan
negara akan menyemai rasa cinta akan negara sekali gus demi keamanan yang
dikecapi.
Comments
Post a Comment