Cara-Cara Mengamalkan Amalan Gaya Hidup Sihat Dalam Kalangan Masyarakat


Pelbagai kempen telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat. Antara kempen tersebut, termasuklah kempen Rakyat Sihat, Negara Maju, Gaya Hidup Sihat dan Nak Sihat. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang kepentingan amalan gaya hidup, saya Edwin Tan, wartawan akhbar Lifetime 7856 telah menemu ramah Pegawai Kesihatan Daerah Klang, Selangor, iaitu Doktor Jason. Ikutilah wawancara saya dengan Doktor Jason.

Edwin Tan:
Selamat pagi doktor. Apa khabar?

Doktor Jason:
Selamat pagi, Edwin.

Edwin Tan:
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada doktor kerana sudi meluangkan masa untuk diwawancara pada pagi ini. Boleh kita mulakan wawancara ini sekarang?

Doktor Jason:
Boleh Edwin. Silakan.

Edwin Tan:
Gaya hidup sihat bolehlah ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa faedah kepada diri dan kalangan masyarakat. Bolehkah doktor jelaskan tentang cara-cara mengamalkan amalan gaya hidup sihat yang dikatakan dapat memberikan manfaat kepada masyarakat?

Doktor Jason:
Amalan gaya hidup sihat sememangnya dapat membawa impak positif kepada diri dan masyarakat. Antara contoh kehidupan yang sihat ialah individu tersebut hidup dengan ceria tanpa mengalami masalah yang boleh menjejaskan kehidupan untuk suatu tempoh tertentu. Sudah pasti dalam kehidupan era moden yang begitu banyak tekanan ini, gaya hidup sihat menjadi amalan yang perlu dicapai oleh semua masyarakat. Oleh itu, terdapat pelbagai tindakan yang boleh dilakukan untuk mencapai matlamat ini.

Edwin Tan:
Apabila memperkatakan tentang cara mengamalkan amalan gaya hidup sihat, semestinya yang terlintas dalam fikiran kita ialah pengambilan makanan yang seimbang. Apakah pandangan doktor tentang perkara ini?

Doktor Jason:
Betul, Edwin. Sememangnya pemakanan yang seimbang merupakan salah satu daripada amalan gaya hidup sihat. Tubuh orang yang mengamalkan pemakanan seimbang ini akan mendapat khasiat dan vitamin yang diperlukan oleh badan. Sebagai contoh, seseorang itu perlu banyak mengambil makanan yang berserat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan serta mengurangkan makanan yang berlemak atau berkolestrol tinggi. Dengan itu, penyakit berbahaya seperti penyakit jantung, diabetes, obesiti akan dapat dielakkan. Masyarakat di negara kita perlu menanamkan dalam minda bahawa mencegah penyakit adalah lebih baik daripada mengubati.

Edwin Tan:
Selain pemakanan seimbang, apakah amalan gaya hidup sihat lain yang perlu kita amalkan dalam kehidupan seharian?

Doktor Jason:
Amalan lain yang perlu diamalkan adalah dengan bersukan atau beriadah. Aktiviti sukan dan riadah yang dilakukan akan menyihatkan badan kerana aktiviti itu akan melancarkan perjalanan darah dan badan akan berpeluh. Seseorang itu boleh bersukan seperti berlari, bermain badminton, menunggang basikal, dan sebagainya. Jika badan seseorang itu sihat, sudah pastilah daya pemikirannya juga cerdas.

Edwin Tan:
Jika kita perhatikan, banyak penyakit berbahaya di negara kita yang memerlukan perhatian yang serius. Pada pendapat doktor, apakah tindakan yang perlu kita ambil bagi memastikan kesihatan kita terjamin?

Doktor Jason:
Sebagai langkah pencegahan, setiap individu perlu menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala. Hal ini akan memastikan anggota dalaman tubuh seseorang itu seperti jantung dan hati dapat berfungsi dengan baik. Dengan cara itu juga, penyakit berbahaya seperti penyakit   jantung dan diabetes dapat dikesan lebih awal melalui peralatan yang moden dalam bidang perubatan. Dengan itu, langkah pemulihan akan dapat dilakukan dengan segera kerana peralatan moden tersebut dapat mengesan sesuatu penyakit dengan lebih awal.

Edwin Tan:
Sebelum ini, doktor ada mengatakan bahawa mencegah lebih baik daripada mengubati. Bolehkah kita amalkan gaya hidup sihat dengan menjauhi hidup yang negatif?

Doktor Jason:
Benar, Edwin. Kita boleh mengamalkan gaya hidup sihat dengan menjauhi gaya hidup yang negatif. Hal ini dikatakan demikian kerana amalan gaya hidup yang tidak sihat akan menjejaskan kesihatan dan mengancam nyawa kita. Pengambilan alkohol dan dadah akan mendedahkan badan kepada pelbagai penyakit dan masalah kesihatan seperti obesiti, kencing manis, dan kesihatan mental. Tahap kesihatan rakyat yang baik dapat memajukan dan meningkatkan produktiviti negara.

Edwin Tan:
Secara keseluruhannya, apakah yang dapat doktor simpulkan dalam isu yang kita bincangkan ini?

Doktor Jason:
Baiklah, secara keseluruhannya, saya dapat menyimpulkan bahawa amalan gaya hidup sihat dapat dipraktikkan dengan banyak cara. Amalan-amalan ini memang perlu dijadikan budaya untuk melahirkan masyarakat yang sihat. Kementerian Kesihatan perlulah mengambil langkah yang proaktif untuk merealisasikan impian negara itu. Sekiranya langkah tersebut tidak diambil, sudah tentu hasrat untuk melahirkan masyarakat yang sihat tidak akan menjadi kenyataan.

Edwin Tan:
Akhir sekali, apakah harapan doktor terhadap Kempen Nak Sihat yang sedang giat dijalankan oleh Kementerian Kesihatan bagi memastikan rakyat sihat?

Doktor Jason:
Saya berharap agar kempen kerajaan iaitu, Kempen Nak Sihat dapat direalisasikan kerana rakyat yang sihat dapat menyumbang kepada pembangunan negara dan menjadi pekerja yang produktif.

Edwin Tan:
Saya bagi pihak akhbar Lifetime7856 ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada doktor kerana sudi meluangkan masa dalam sesi wawancara pada kali ini. Terima kasih sekali lagi, doktor.

Doktor Jason:
Sama-sama.

Comments

Unknown said…
Karangan yg menarik sebagai rujukan sebelum peperiksaan

Popular posts from this blog

Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS) Tajuk 9: Industri Pelancongan

Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS) Tajuk 65: Alam Sekitar

Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS) Tajuk 44: Pertanian Moden