Usaha-usaha untuk Memupuk Sebuah Keluarga yang Bahagia
Keluarga merupakan institusi yang amat penting dalam sesebuah masyarakat. Pengamalan
kasih sayang dan prihatin sesama ahli mampu mewujudkan sebuah keluarga yang
bahagia. Kasih sayang adalah suatu sikap saling menghormati dan mengasihi semua
ciptaan Tuhan. Keluarga memainkan peranan dalam membentuk jati diri ahli
keluarga. Namun begitu, setiap ahli keluarga perlu menanam nilai-nilai murni
dalam diri bagi membentuk keluarga yang harmoni.
Sebagaimana yang kita sedia
maklum bahawa ibu bapa memainkan peranan penting dalam institusi keluarga. Oleh
itu, ibu bapa sebagai suri teladan kepada anak-anak. Ibu bapa yang menjadi suri
teladan kepada anak-anak dapat memastikan anak-anak mempunyai sahsiah yang
baik. Anak-anak yang masih kecil akan mencontohi perlakuan orang yang lebih
dewasa. Sebagai contoh, ibu bapa melakukan perkara yang negatif, seperti
merokok dan berjudi di hadapan mereka akan menyebabkan anak-anak mengikut perlakuan
ibu bapa. Ibu bapa merupakan orang yang paling dekat dengan anak mereka, dan
dapat membetulkan perangai dan sikap buruk anak dengan segera. Ibu bapa
janganlah mengajar anak seperti peribahasa Melayu ‘ketam mengajar anak berjalan
betul’. Oleh itu, usaha memupuk keluarga bahagia haruslah dicapai dengan
menjadi teladan yang baik untuk anak-anak kerana ‘bagaimana acuan, begitulah
kuihnya’.
Sebagai sebuah keluarga yang
bahagia, kerapkan berkomunikasi haruslah sentiasa diamalkan antara ahli keluarga.
Setiap ahli keluarga amat memerlukan antara satu sama lain dengan berkongsi
masalah dengan ibu bapa. Ibu bapa juga wajarlah mendengar setiap masalah teliti
serta berbincang secara terbuka dalam usaha menyelesaikan masalah. Sebagai ibu
bapa, ruang untuk melontar pandangan diri setiap ahli keluarga harus diberikan.
Peranan ibu bapa adalah untuk mencari pendekatan yang sesuai atau menasihati
anak-anak dalam menangani masalah yang dihadapi. Kesannya, perbuatan ini akan
mewujudkan persefahaman, kepercayaan dan keyakinan antara ahli keluarga. Dalam menangani
setiap situasi yang akan menghadapi, penyelesaian yang baik dapat melahirkan
institusi keluarga yang bahagia. Ibu bapa haruslah menjaga setiap ahli keluarga
seperti ‘menatang minyak yang penuh’, dan mempunyai kerjasama ‘bagai aur dengan
tebing’ antara ahli keluarga. Jelaslah bahawa usaha memupuk keluarga yang
bahagia hendaklah mengadakan komunikasi harmoni dan dua hala.
Didikan agama dan moral
dalam sebuah keluarga juga tidak dapat diabaikan. Bagi membentuk sahsiah yang
tinggi dalam generasi muda, nilai-nilai murni dan akhlak baik haruslah diberi
didikan sejak kecil-kecil lagi. Jika seorang tidak mempunyai agama, dia akan
hilang petunjuk kehidupan seperti kapal tanpa nakhoda. Ibu bapa haruslah
membantu anak-anak berpandukan ajaran agama supaya mereka dapat berfikir dengan
rasional dan matang berdasarkan alasan dan bukti yang nyata serta mengambil
tindakan berasaskan pertimbangan yang wajar. Keluarga yang berpegang kuat
kepada ajaran agama akan melahirkan anak-anak yang mempunyai tingkah laku yang
baik. Justeru, ibu bapa diwajibkan untuk memberi didikan agama yang betul
kepada anak sejak kecil, bak kata pepatah ‘melentur buluh biarlah dari
rebungnya’. Tuntasnya, usaha memupuk keluarga bahagia haruslah menerapkan
didikan agama dan moral kepada generasi muda supaya mengeratkan hubungan ahli
keluarga.
Keluarga yang bahagia tidak
dapat dipisahkan dengan saling menghormati antara ahli keluarga. Sebuah keluarga
yang saling menghormati antara ahli keluarga dapat mewujudkan suasana yang
harmoni dan menuju ke arah keluarga yang bahagia. Anak-anak harus menghormati
ahli keluarga yang lebih tua, iaitu abang, kakak, datuk dan nenek juga supaya
dapat mengelakkan pertelingkahan. Sikap saling menghormati harus dipraktikkan
dalam kehidupan seharian supaya mendapat gemari orang lain. Kita pun mestilah
menjaga etika dan maruah diri agar mengharumkan imej keluarga. Kata orang
tua-tua ‘yang muda disayangi, yang tua dihormati’. Realitinya, usaha memupuk
keluarga yang bahagia hendaklah bersikap amalan saling menghormati sesama ahli
keluarga agar hubungan antara ahli keluarga lebih ketat.
Tambahan pula, ibu bapa
haruslah memantau kegiatan anak-anak. Ibu bapa pastilah meluangkan masa untuk
menemani anak dan memantau aktiviti seharian anak-anak mereka. Hal ini demikian
kerana dalam masyarakat yang modenisasi, semua orang lebih menitikberatkan
kebenderaan atau materialistik. Ibu bapa haruslah mengambil tahu kawan anak-anak
serta membantu anak-anak daripada memilih rakan yang salah agar tidak
menyebabkan gejala sosial berlaku. Jika ibu bapa dapat memantau kegiatan
anak-anak, kegiatan gejala sosial tidak akan berlaku, sebarang masalah dapat
diselesaikan dengan segera dan dapat memelihara nama baik keluarga. Oleh itu,
ibu bapa haruslah meluangkan masa untuk menemani anak walaupun ibu bapa sibuk
dalam bekerja. ‘Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’.
Pokoknya, usaha memupuk keluarga yang bahagia haruslah ibu bapa mengambil tahu
aktiviti anak-anak.
Ulasan dan kupasan yang
terperinci dan mendalami sudah sampai ke hujung mata pena. Sebagai akhirul
kalam, saya ingin membuat rumusan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang
penting dalam membentuk sebuah keluarga yang bahagia. Keluarga yang bahagia
merupakan asas pembentukan masyarakat penyayang dan maju. Oleh itu, ibu bapa
haruslah mengatasi masalah dengan cara-cara yang baik. Sekiranya semua pihak
bekerjasama dan menggembleng tenaga, fenomena tersebut dapat berjaya
diselesaikan. Impian negara untuk mewujudkan masyarakat penyayang demi kebaikan
bersama juga dapat direalisasikan, bak kata pepatah ‘berat sama dipikul, ringan
sama dijinjing’.
Comments
Post a Comment