Kepentingan Aktiviti Rekreasi



Semakin hari kita semakin dibelenggu dengan pelbagai masalah penyakityang berpunca daripada kurangnya melakukan aktiviti riadah. Pada zaman ini, aktiviti rekreasi merupakan salah satu elemen yang penting dalam kehidupan manusia. Hari ini ramai dalam kalangan masyarakat yang beranggapan bahawa aktiviti rekreasi hanya membuang masa dan tidak mendatangkan faedah kepada mereka. Oleh itu, persepsi sebegini seharusnya ditangkis daripada bersarang dalam minda masyarakat kerana aktiviti rekreasi sebenarnya membawa kepentingan kepada masyarakat. 

Salah satu kepentingan aktiviti rekreasi termasuklah mengeratkan hubungan silaturahim. Perhubungan yang baik dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum merupakan tunjang galakan kepada perpaduan negara. Misalnya, ketika menjalankan aktiviti rekreasi kita dapat berkenalan dengan masyarakat di sekeliling kita dan daripada situ sebenarnya sudah bermula satu bentuk perhubungan yang seterusnya membawa kepada perpaduan majmuk dalam kalangan masyarakat Malaysia. Perhubungan yang baik hasil daripada aktiviti rekreasi juga dapat membawa kepada pembentukan komuniti yang bukan sahaja sihat dari segi kesihatan malah sihat dari segi perhubungan masyarakat itu sendiri. Jadi aktiviti rekreasi mampu memupuk semangat yang bersatu padu pada ibarat pepatah Melayu, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Selain itu, kepentingan aktiviti rekreasi adalah melapangkan minda dan fikiran masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam mengharungi kesibukan serta tekanan belajar, aktiviti rekreasi seperti berjoging, berenang, dan bermain bola keranjang dilihat sebagai satu penyelesaian kepada kita untuk melapangkan minda sebentar dari ruang lingkup kerja. Oleh itu, masyarakat seharusnya berpegang teguh pada prinsip badan sihat otak cerdas.

Di samping itu, kepentingan rekreasi kepada masyarakat adalah menyihatkan badan. Kesihatan fizikal dan mental merupakan dua elemen yang berkaitan dalam menjadikan tubuh bahan kita sihat dan cergas. Sebagai contoh, aktiviti rekreasi seperti berjoging dan berenang bukan sahaja mampu menyihatkan badan malah dapat melapangkan fikiran kita. Tegasnya, aktiviti rekreasi merupakan salah satu aktiviti yang mampu menyegarkan dan menjadikan badan cergas.

Kesimpulannya, aktiviti rekreasi mempunyai banyak kepentingan dan kelebihannya. Oleh itu, masyarakat seharusnya berusaha untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang berbentuk rekreasi ibarat peribahasa hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Semua pihak seharusnya mengembleng tenaga untuk mengambil modus operandi yang drastik bagi menyedarkan masyarakat tentang kepentingan aktiviti rekreasi dalam melahirkan masyarakat yang sihat dari segi fizikal, mental, rohani dan jasmani.

Comments

Popular posts from this blog

Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS) Tajuk 9: Industri Pelancongan

Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS) Tajuk 65: Alam Sekitar

Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS) Tajuk 44: Pertanian Moden