Cara Melestarikan Permainan Tradisonal
Selaras dengan kemajuan teknologi pada era globalisasi ini yang berkembang pesat, permainan siber dan permainan komputer menjadi permainan yang popular terutamanya dalam kalangan remaja. Sehubungan dengan itu, terdapat banyak permainan tradisional seperti congkak, wau, gasing, dan sebagainya kian dipandang enteng. Khazanah kebudayaan kita ini semakin lenyap di bumi kita jika keadaan ini dibiarkan tanpa tindakan yang proaktif diambil. Oleh itu, kita haruslah mengambil langkah-langkah untuk mengembalikan kegemilangan permainan tradisional yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas ini.
Salah
satu cara untuk melestarikan permainan tradisional di negara kita ialah
kerajaan wajar menganjurkan kempen secara besar-besaran bagi memperkenalkan permainan
ini. Bukan itu sahaja, kita juga dapat menyiarkan dokumentari sejarah, keunikan
dan cara bermainnya. Selain itu, langkah untuk melestarikan permainan
tradisional di negara kita juga dapat dijalankan melalui hebahan daripada media
massa iaitu media cetak dan media elektronik. Rakyat dapat mengenali permainan
ini, bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta, kerajaan haruslah berusaha
menyedarkan masyarakat tentang kepentingan permainan tradisional dan peraduan
melukis poster wajarlah diadakan sempena kempen tersebut. Tegasnya, kempen
tersebut haruslah dijalankan berterusan tetapi bukan sekadar hangat-hangat tahi
ayam untuk memupuk minat masyarakat terhadap permainan tradisional.
Selain
itu, pihak berkuasa haruslah menjadikan permainan tradisional sebagai satu
acara untuk menarik pelancong dari luar negara dan dalam Malaysia. Malaysia
terkenal dengan pelbagai jenis permainan tradisional. Dengan ini, pelancong
asing dapat mengetahui dan berminat dengan permainan tradisional di Malaysia dengan
lebih lanjut. Contohnya, kita boleh mengedarkan risalah atau mempersembahkan
cara bermain permainan tradisional semasa menjalankan aktiviti ini. Generasi
muda pula boleh dilatih untuk menjadi duta kecil untuk memperkenalkan permainan
tradisional kepada pelancong asing. Dengan ini, permainan tradisional menjadi
popular dan menarik kedatangan pelancong asing ke Malaysia dan seterusnya
memajukan bidang pelancongan negara. Perkara ini selaras dengan peribahasa
sambil menyelam minum air.
Satu
lagi langkah yang lain termasuklah menjadikan permainan tradisional sebagai
salah satu kegiatan kokurikulum di sekolah. Kanak-kanak di peringkat prasekolah
haruslah didedahkan kepada permainan tradisional bak kata peribahasaa melentur
buluh biarlah dari rebungnya. Sehubungan dengan itu, pihak sekolah haruslah
menubuhkan kelab permainan tradisional supaya para pelajar dapat disuntik ilmu
tentang cara membuat alat permainan, cara bermain dan lain-lain lagi kepada
pelajar. Pendedahan sedemikian dapat menyemarakkan semangat pelajar dan
memahirkan diri mereka terhadap teknik bermain permainan tradisional, bak kata
pepatah di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Justifikasinya, komitmen pihak
sekolah dan usaha tersebut dapat menghidupkan kegemilangan permainan ini semula
dalam kalangan generasi muda.
Kesimpulannya,
permainan tradisional haruslah dipelihara dengan baik supaya tidak pupus
ditelan arus pemodenan. Oleh itu, semua pihak wajarlah mengamalkan nilai saling
membantu dan bekerjasama, nilai bertanggungjawab dan nilai mengekalkan tradisi
kekeluargaan untuk mengekalkan permainan tradisional. Dengan kerjasama semua
pihak bagai aur dengan tebing, kita pasti boleh menguar-uarkan warisan bangsa
yang tidak ternilai harganya ini agar masyarakat terus menghargainya dan
mencintai permainan ini.
Comments
Post a Comment