Rumah Terbuka
Kita sedia maklum bahawa
negara Malaysia terkenal oleh keunikan budaya yang tersendiri. Budaya rumah
terbuka ini telah menjadi sinonim dalam kehidupan rakyat di negara kita dan
telah diamalkan secara meluas saban tahun. Majlis rumah terbuka ini diadakan
pada musim-musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, dan Tahun
Baru Cina. Pelbagai kaum akan bersama-sama meraikannya malah pemimpin negara
turut sama menjayakan program tersebut. Persoalannya, apakah
kepentingan-kepentingan budaya rumah terbuka yang dijalankan di negara
Malaysia?
Realitinya,
kepentingan-kepentingan budaya rumah terbuka termasuklah dapat mengukuhkan
perpaduan antara kaum di negara. Hal ini dikatakan demikian kerana perpaduan
kaum merupakan kunci kemakmuran dan keamanan sesebuah negara. Dalam erti kata
lain, hubungan perpaduan perlu untuk keharmonian bangsa dan negara. Semasa
majlis rumah terbuka diadakan semua kaum seperti kaum Melayu, Cina, India dan
sebagainya akan bertemu dan berkenal-kenalan. Mereka pastinya akan
berkomunikasi antara satu sama lain dan bertukar-tukar pengalaman sambil
menikmati makanan dan minuman yang terhidang. Malah, mereka ada yang sempat
bertukar-tukar nombor telefon untuk meneruskan silaturahim agar lebih rapat.
Dengan ini akan dapat mewujudkan sikap bertolak ansur dan saling memahami sekali
gus sikap toleransi antara sesuatu kaum dipererat. Secara tidak langsung,
senario ini akan dapat merealisasikan konsep 1 Malaysia yang diuar-uarkan oleh
pemimpin negara ini. Manifestasinya, rumah terbuka merupakan wadah perpaduan
masyarakat majmuk di negara ini.
Jika
disingkap dari sudut yang lain, budaya rumah terbuka juga dapat meningkatkan
semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana
hidup berkeluarga dan bermasyarakat memerlukan sikap kerjasama yang tinggi.
Contohnya, ahli keluarga atau masyarakat akan bermuafakat dalam melaksanakan
sesuatu perkara seperti penyediaan makanan dan tempat sambutan rumah terbuka.
Secara tidak langsung, kerja yang dilakukan sangat berkesan dan menjimatkan
masa yang diibaratkan emas itu. Malah, sesuatu kerja berat dapat diringankan
jika kerja tersebut dilakukan oleh orang ramai, bak kata peribahasa yang berat
sama dipikul, yang ringan sama dijinjing dan bulat air kerana pembetung, bulat
kata kerana muafakat. Justifikasinya, sikap bekerjasama sebagai satu keluarga
dapat disuburkan dalam sanubari masyarakat majmuk di negara ini.
Dari
dimensi yang lain, kepentingan budaya rumah terbuka yang seterusnya termasuklah
keharmonian negara dapat dipertahankan. Hal ini berlaku kerana rakyat Malaysia
yang terdiri daripada pelbagai kaum dapat hidup di bawah satu bumbung dang
dapat memahami budaya kaum masing-masing. Malah, jati diri yang tinggi terhadap
negara dapat diperkukuh. Dengan ini, negara tidak akan berada dalam keadaan
yang kucar-kacir dan huru-hara. Kemeriahan dalam sambutan rumah terbuka juga
mampu dikekalkan. Rakyat Malaysia akan saling menghormati budaya dan adat
sesuatu kaum di Malaysia. Impaknya, rakyat akan berganding bahu menjaga
kemakmuran negara dan tidak bersikap mementingkan diri sendiri, bak kata orang
tua-tua, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Sudah terang lagi bersuluh
bahawa budaya rumah terbuka dapat meningkatkan kecintaan rakyat kepada keamanan
negara dan negara tetap utuh kemerdekaannya.
Secara
tuntasnya, majlis rumah terbuka menjadi satu amalan dan budaya masyarakat yang
tinggi nilai budayanya. Sesungguhnya, permuafakatan dalam majlis ini perlu
dijadikan asas penting perpaduan negara. Hal ini bermaksud kerjasama untuk menjayakan
sesuatu program rumah terbuka harus dipertahankan. Dengan ini, negara kekal
aman dan rakyat hidup bahagia tanpa berasa bimbang dan takut sekali gus
kerukunan dan kemakmuran negara dapat dipertahankan untuk sekian lamanya.
Comments
Post a Comment