Sumbangan dan Peranan Teknologi Komputer Dalam Bidang Pendidikan

Yang saya muliakan Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Pegawai Pendidikan Daerah, Encik Ng Tuck Huat, Yang Berusaha Tuan Pengetua Sekolah Encik Wong Kheng Khien, dif-dif kehormat, para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru, para peserta dan hadirin yang saya hormati sekalian. Salam sejahtera. Saya ingin memanjat kesyukuran kepada Tuhan kerana memberikan peluang kepada saya untuk menyampaikan syarahan yang penuh bermakna ini. Tajuk syarahan saya ialah ‘Sumbangan dan Peranan Teknologi Komputer dalam Bidang Pendidikan’. Apakah komputer? Menurut Kamus Dewan, komputer dijelaskan sebagai sejenis alat elektronik yang dapat menyimpan maklumat pada cakera atau pita bermagnet.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

Pada tahun 2000, setiap sekolah di tanah air kita telah dilengkapkan dengan sebuah komputer. Koridor Raya Multimedia (MSC) merupakan salah satu wahana yang penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran, terutamanya Sekolah Bestari yang dibangunkan di Putrajaya. Sekolah Bestari amat penting untuk melahirkan pelajar yang celik pada abad ke-21. Kewujudan Sekolah Bestari pada hari ini telah berjaya mengubah pendekatan tradisional guru ketika menyampaikan pendidikan. Hari ini, guru ialah fasilitator di bilik darjah. Sebagai fasilitator, guru yang mempunyai keyakinan menggunakan komputer akan membantu mereka memilih maklumat yang berguna dalam kelas mereka.

Hadirin yang dimuliakan,

Penggunaan internet di Sekolah Bestari pada masa ini telah memberikan banyak faedah kepada manusia. Internet bebas digunakan oleh sesiapa sahaja yang hendak menggunakan. Hal ini bermakna, internet membantu pelajar menyelesaikan masalah atau mencari maklumat daripada beribu-ribu pangkalan data dan perpustakaan yang ada di seluruh dunia. Oleh itu, para pengguna akan dapat menambah ilmu, seberapa banyak yang boleh. Contohnya, melalui aktiviti Persidangan dan Pameran Internet Sedunia anjuran Persatuan Internet Sedunia (Isoc) yang diadakan di Pusat Perdagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur beberapa tahun lalu itu untuk menambahkan ilmu pengetahuan guru dan para pengguna tentang internet.

Sumbangan dan peranan teknologi komputer mutakhir ini terbukti dapat membantu kita. Ini ialah satu cabang teknologi sains dan kejuruteraan teknik pengurusan yang digunakan untuk memproses dan mengendalikan. Sekiranya setiap pelajar atau anda semua menggunakan komputer peribadi yang disambung kepada sever perpustakaan secara online, maka seluruh isi perpustakaan dapat dipaparkan pada skrin komputer. Pengguna hanya perlu menaip tajuk atau nama pengarang, bidang atau kekunci tertentu pada mesin cari untuk mencari maklumat yang diperlukan. Selain itu, komputer juga dapat membaca setiap halaman atau setiap muka surat rencana atau majalah pada skrin komputer.

Hadirin yang budiman sekalian,

Perkembangan Pengajian Jarak Jauh (PJJ) memainkan peranan yang penting dalam dunia teknologi. Untuk makluman, Universiti Sains Malaysia (USM) telah mewujudkan sistem USM Video Net. Sistem yang gelombang mikro ini telah menghubungkan USM di Pulau Pinang dengan kampus cawangannya di Perak dan Kelantan. Sidang video di pusat-pusat wilayah bagi kegunaan pengajian jarak jauh di seluruh negara ini telah meningkatkan kepercayaan negara terhadap pengajian ini. Jelaslah dengan adanya USM Video Net, PJJ dapat dikembangkan secara pesat dengan lebih cepat dan berpotensi.

Kepelbagaian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) di negara ini telah mampu menghasilkan persekitaran yang bercorak, futuristik dan mewujudkan sistem pendidikan moden. Hal ini demikian kerana para pengguna dapat mendekatkan diri sendiri dengan perkembangan dunia serta berhubung antara satu sama lain menerusi jaringan maklumat dan mengetahui peribadi mereka. Sehubungan dengan hal itu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah melancarkan kampus siber baru-baru ini. Pelancaran kampus yang bertujuan untuk memberikan perhatian sepenuhnya kepada proses pengajian dan pembelajaran.

Akhir kata, sebelum saya mengundurkan diri, saya ingin memberitahu kepada hadirin sekalian bahawa abad ke-21 ialah masa-masa yang bersifat multimedia dan interaktif beranimasi. Setiap pelajar di bangku sekolah rendah dan menengah dapat didedahkan kepada mereka bagi mempersiapkan diri mereka untuk menghadapi masa depan pendidikan yang lebih sukar dan mencabar. Persiapan awal dalam pendidikan akan memudahkan para pelajar yang celik dan tidak akan mengalami ‘kejutan budaya multimedia’. Marilah kita sama-sama keluar daripada konsep hidup ‘seperti katak di bawah tempurung’.

Sekian, terima kasih.

Comments

Popular posts from this blog

Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS) Tajuk 9: Industri Pelancongan

Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS) Tajuk 65: Alam Sekitar

Kebaikan dan Keburukan tentang Robot Kini