Surat Aduan Tentang Kerosakan Jalan Raya


Setiausaha,
Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK),
Kampung Nanas,
40460 Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan.
________________________________________________________________________________________________________________

Yang Dipertua,
Majlis Perbandaran Shah Alam,
40460 Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan.                                                                                                                      19 JUN 2017.

Tuan,

Aduan tentang Kerosakan Jalan Raya di Kampung Nanas

Dengan segala hormatnya perkara di atas dirujuk. Perbualan antara saya dengan pihak tuan menerusi telefon pada 10 Jun 2017 dirujuk dan berkaitan. Surat ini diajukan sebagai tindakan susulan seperti yang dikehendaki oleh pihak tuan.

2.    Saya selaku setiausaha, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Nanas, ingin memanjangkan hal ini kepada pihak tuan kerana keadaan kerosakan jalan raya di kampung kami yang teruk. Jalan yang berlubang-lubang dan terlalu sempit sehinggakan kenderaan yang melalui jalan ini tidak boleh berselisih. Saya yakin pihak tuan sedia maklum bahawa sudah lebih dari dua tahun jalan raya di kampung kami tidak diturap semula. Oleh sebab jalan tersebut merupakan satu-satunya jalan yang boleh digunakan oleh para penduduk untuk ke bandar yang berhampiran, maka terpaksalah kami menggunakan jalan raya tersebut. Saya pernah mengajukan hal ini kepada pihak tuan sebanyak lima kali tetapi maklum balas yang diterima amat mengecewakan. Kami diminta agar bersabar sementara menunggu keputusan daripada pihak kerajaan negeri. Kami berasa bagai melukut di tepi gantang.

3.    Disebabkan jalan yang berlubang-lubang dan sempit, kemalangan jalan raya kerap berlaku di kampung kami. Para penunggang motosikal khususnya sering terjatuh akibat terlanggar lubang yang dalam. Sesungguhnya malang tidak berbau. Penduduk kampung bukan sahaja menghadapi kesulitan kerana terpaksa melalui jalan yang berlubang-lubang dan sempit, malah mereka perlu melalui jalan yang gelap. Tiada lampu jalan disedarkan di kampung kami. Agak malang bagi kami kerana walaupun negara kita telah merdeka selama lebih daripada 50 tahun, kemudahan asas di kampung kami masih daif.

4.    Untuk pengetahuan tuan, penduduk kampung kami juaga melaksanakan program ‘homestay’. Ramai pelancong tempatan dan luar negara yang menginap di kampung kami memberikan komen tentang keadaan jalan raya kampung kami yang tidak memuaskan. Jika jalan raya yang dibina tidak sempurna, sudah pasti tanggapan para pelancong terhadap negara kita bersifat negatif. Kedatangan pelancong menjana pendapat negara kita bukan sahaja kepada penduduk kampung kami tetapi juga kepada negara kita. Sehubungan dengan itu, keprihatinan pihak tuan akan menjadikan panorama kampung kami lebih menarik dan sempurna.

5.    Di kampung kami juga terdapat industri kecil iaitu industri pembuatan kerepek. Dengan adanya industri ini, kenderaan berat seperti lori keluar dan masuk ke kampung kami. Oleh sebab kenderaan berat melalui jalan ini, maka jalan raya yang ada semakin teruk dan meyukarkan pengguna jalan raya. Komitmen pengusaha industri kerepek menyahut seruan kerajaan supaya bergiat dalam kegiatan industri kecil sepatutnya dihargai dan disokong oleh pihak berkuasa tempatan. Ramai yang mengeluh kerana menghadapi masalah yang tidak sepatutnya berlaku sekiranya pihak berkuasa prihatin terhadap masalah penduduk.

6.    Saya berharap agar aduan yang dibuat kali ini akan mendapat perhatian segera daripda pihak tuan. Penduduk kampung sudah lama bersabar. Jika aduan kali ini masih juga tidak diambil perhatian, kami akan mengundang wartawan untuk menyiarkan masalah ini sebagai langkah terakhir. Sebagai pihak yang terpaksa menanggung risiko, kami akan melakukan apa-apa demi kebaikan dan kesejahteraan penduduk kampung kami dapat terjamin. Kami berharap agar masalah kerosakan jalan raya di kampung kami dapat diselesaikan dengan secepat mungkin sedar bahawa kerja bertangguh tidak menjadi, kerja beransur tidak bertahan.

7.    Segala perhatian, kerjasama dan tindakan tuan sangat-sangat kami harapkan dan saya dahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Sekian, terima kasih.



Yang menjalankan tugas,
    E D W I N       _
(EDWIN TAN)
Setiausaha,
Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK),
Kampung Nanas.

Comments

Popular posts from this blog

Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS) Tajuk 9: Industri Pelancongan

Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS) Tajuk 65: Alam Sekitar

Kebaikan dan Keburukan tentang Robot Kini