Aktiviti Berbasikal


                         Pada era globalisasi ini, kesihatan terhadap seseorang adalah sesuatu yang harus diutamakan dalam mencapai kualiti dari segi kerjaya yang diceburi. Hal ini dikatakan demikian kerana masyarakat hari ini sibuk dengan kerja atau pelajaran, dan tidak ada masa menjalankan aktiviti yang bermanfaat seperti aktiviti berbasikal. Jadi, aktiviti berbasikal bersama ahli keluarga pada hujung minggu menjadi popular dalam kalangan masyarakat kita. Berbasikal sama ada di dalam mahupun di luar rumah ialah sesuatu bentuk keseronokan yang boleh diperoleh dengan mudah. Aktiviti berbasikal amat berkesan dan menjadi satu latihan yang akan mengurangkan ketegangan fikiran dan boleh dijadikan satu aktiviti yang sesuai untuk semua peringkat umur untuk membentuk kecergasan fizikal. Persoalannya, sejauh manakah manfaat aktiviti ini untuk kesihatan terhadap masyarakat?

                Riadah berbasikal semakin menjadi pilihan dalam kalangan masyarakat ibu kota yang mementingkan gaya hidup sihat dengan mengisi masa lapang melakukan aktiviti yang lebih berkualiti. Aktiviti berbasikal dikatakan dapat menguatkan keseluruhan otot tubuh terutamanya di kaki, betis, paha, bahu, lengan, perut dan pinggul bagi menghasilkan postur tubuh menarik seperti yang diidamkan. Sekumpulan doktor pakar saraf dari Universiti Gothenburg, Sweeden menyatakan bahawa berbasikal adalah cara yang paling baik untuk bebas daripada migrain, juga dikenali sebagai sakit kepala. Aktiviti berbasikal mampu menghilangkan stres dan membaiki kualiti tidur dan akan menstabilkan denyutan di kepala, lama-kelamaan pesakit akan sembuh secara semula jadi. ‘Badan cergas, otak cerdas’. Tegasnya, aktiviti berbasikal haruslah dijalankan sebagai senaman rutin harian.

                Selain itu, aktiviti berbasikal dengan intensiti tinggi dapat membakar lebih banyak kalori kerana kita harus memindahkan tenaga secara terus-menerus. Sebagai contoh, jika seorang individu dengan berat 100 kilogram mengayuh basikal untuk ke tempat kerja setiap hari, dipercayai kalorinya akan terbakar sehingga 1056 dalam tempoh satu jam perjalannya. Oleh itu, hanya dengan berbasikal individu tersebut telah mampu membakar 5280 kalori pada tubuhnya dalam masa lima hari bekerja tanpa mengamalkan diet berbahaya dan dapat membakar lemak serta menguruskan badan dalam masa yang singkat. Semakin berat tubuh anda, semakin berat juga sendi anda. Aktiviti berbasikal ialah sejenis senaman rendah hentakan, menjadi pilihan tepat untuk mereka yang baru bersenam kembali. ‘Amalkan Gaya Hidip Sihat’. Pendek kata, aktiviti berbasikal secara berterusan dapat mengelakkan masalah tekanan darah tinggi, obesiti, diabetes dan juga mengurangkan risiko serangan jantung.

                Aktiviti berbasikal terutamanya dijalankan pada hujung minggu boleh dilakukan bersama pasangan dan anak-anak kerana lebih selamat dan selesa. Aktiviti ini secara tidak langsung menggalakkan golongan wanita dan anak-anak untuk membabitkan diri dalam aktiviti berbasikal yang sebelum ini didominasi oleh golongan lelaki. Oleh sebab itu, aktiviti berbasikal mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli keluarga. Hubungan antara suami dan isteri kian erat dan pula membentuk keluarga yang lebih bahagia dan harmoni. Berbasikal juga boleh mengajak kawan-kawan atau menyertai mana-mana kumpulan basikal agar hubungan jadi lebih erat bagai isi dengan kuku. Semakin banyak persatuan dan kelab basikal telah menganjurkan program basikal sebagai platform untuk mengeratkan hubungan masyarakat sekeliling dan memupuk minat untuk berbasikal kerana dapat kongsi bersama saat-saat gembira tentang pengalaman berbasikal diri sendiri. ‘Rakyat Sihat, Negara Maju’. Secara ringkasnya, aktiviti berbasikal hendaklah dijalankan secara berterusan agar masyarakat kota mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti ini yang semakin popular ini.

                Tambahan pula, berbasikal dapat menikmati keindahan alam ini. Aktiviti berbasikal boleh membawa kita ke satu perjalanan yang jauh. Dalam perjalanan, kita tidak akan berasa bosan kerana dapat menikmati atau melihat pemandangan yang menarik di sepanjang perjalanan. Masyarakat dapat menghirup udara yang segar dan dapat menggembirakan hati seseorang yang cepat jemu dengan satu-satu aktiviti yang tidak berubah. Berbasikal juga akan mengeluarkan hormon endorphin sekali gus mengusir keluar segala perasaan negatif terutama stres yang ada dalam diri. Perembesan keluar endorphin bukan hanya memperbaiki perasaan dan mengawal keseimbangan hormon individu bahkan menjadikan mereka lebih positif dalam menjalani kehidupan. Aktiviti ini juga berkesan dalam merehatkan minda terutama jika kita berbasikal pada awal pagi atau lewat malam. Hembusan udara yang segar pada kedua-dua waktu ini mampu menenangkan fikiran sekali gus mengusir stres yang sedang dialami. Dalam masa yang sama turut meningkatkan kepekaan dan daya konsentrasi individu. Sebagai masyarakat yang memerhatikan kesihatan kita, kita hendaklah mengelakkan ‘hangat-hangat tahi ayam’ daripada melakukannya. Jelaslah bahawa aktiviti berbasikal dapat melatih ketabahan seseorang untuk menjalankan sesuatu tugas.

                Sementelahan, aktiviti berbasikal dapat menambah kenalan baharu tanpa mengira kaum dan usia. Seiring dengan itu, semangat perpaduan antara masyarakat dapat terjamin. Aktiviti berbasikal dapat meningkatkan tahap komunikasi dengan semua ahli berbasikal yang lain. Bak kata orang tua, ‘jauh perjalanan luas pemandangan’. Komunikasi antara masyarakat dapat memupuk lebih banyak orang melibat dalam budaya gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti sesebuah kawasan dan menggalakkan orang ramai untuk bersama-sama menjadikan kawasan kita sebagai ‘Kawasan Rendah Karbon’. Ahli berbasikal dapat berkongsi pengalaman masing-masing dan mengenal lebih banyak alat-alat berbasikal. ‘Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat’. Sesungguhnya, aktiviti berbasikal yang dapat memupuk semangat perpaduan akan menyebabkan sesuatu masyarakat kukuh.

                Sebagai pengakhir bicara, berbasikal ialah satu hobi yang sihat. Aktiviti itu dapat mengelakkan remaja terlibat dalam aktiviti tidak berfaedah dan masalah sosial yang boleh menjejaskan nama baik keluarga dan negara. Masalah sosial seperti melepak, meragut, bergaduh, ponteng sekolah dan lain-lain dapat dihindari oleh seseorang. Malah, mungkin suatu hari kita boleh menjadi atlet negara seperti Mohd. Azizulhasni bin Awang, seorang pelumba basikal trek profesional Malaysia. Dia telah mendapat pingat gangsa dalam acara lumba basikal keirin dalam Sukan Olimpik 2016 Rio de Janeiro dan pingat emas dalam Kejohanan Basikal Dunia. Realitinya, berbasikal merupakan bentuk senaman yang paling mudah dibuat. Berbeza daripada renang dan angkat beban, misalnya, yang memerlukan individu terbabit pergi ke kolam renang atau gimnasium. Oleh itu, semua masyarakat haruslah menjalankan aktiviti basikal untuk memperoleh tubuh yang sihat.

Comments

cinan said…
eiojWIOEFOWEOFWE

Popular posts from this blog

Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS) Tajuk 9: Industri Pelancongan

Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS) Tajuk 65: Alam Sekitar

Kebaikan dan Keburukan tentang Robot Kini