Cara Melestarikan Permainan Tradisonal



                Selaras dengan kemajuan teknologi pada era globalisasi ini yang berkembang pesat, permainan siber dan permainan komputer menjadi permainan yang popular terutamanya dalam kalangan remaja. Sehubungan dengan itu, terdapat banyak permainan tradisional seperti congkak, wau, gasing, dan sebagainya kian dipandang enteng. Khazanah kebudayaan kita ini semakin lenyap di bumi kita jika keadaan ini dibiarkan tanpa tindakan yang proaktif diambil. Oleh itu, kita haruslah mengambil langkah-langkah untuk mengembalikan kegemilangan permainan tradisional yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas ini.

                Salah satu cara untuk melestarikan permainan tradisional di negara kita ialah kerajaan wajar menganjurkan kempen secara besar-besaran bagi memperkenalkan permainan ini. Bukan itu sahaja, kita juga dapat menyiarkan dokumentari sejarah, keunikan dan cara bermainnya. Selain itu, langkah untuk melestarikan permainan tradisional di negara kita juga dapat dijalankan melalui hebahan daripada media massa iaitu media cetak dan media elektronik. Rakyat dapat mengenali permainan ini, bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta, kerajaan haruslah berusaha menyedarkan masyarakat tentang kepentingan permainan tradisional dan peraduan melukis poster wajarlah diadakan sempena kempen tersebut. Tegasnya, kempen tersebut haruslah dijalankan berterusan tetapi bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam untuk memupuk minat masyarakat terhadap permainan tradisional.

                Selain itu, pihak berkuasa haruslah menjadikan permainan tradisional sebagai satu acara untuk menarik pelancong dari luar negara dan dalam Malaysia. Malaysia terkenal dengan pelbagai jenis permainan tradisional. Dengan ini, pelancong asing dapat mengetahui dan berminat dengan permainan tradisional di Malaysia dengan lebih lanjut. Contohnya, kita boleh mengedarkan risalah atau mempersembahkan cara bermain permainan tradisional semasa menjalankan aktiviti ini. Generasi muda pula boleh dilatih untuk menjadi duta kecil untuk memperkenalkan permainan tradisional kepada pelancong asing. Dengan ini, permainan tradisional menjadi popular dan menarik kedatangan pelancong asing ke Malaysia dan seterusnya memajukan bidang pelancongan negara. Perkara ini selaras dengan peribahasa sambil menyelam minum air.

                Satu lagi langkah yang lain termasuklah menjadikan permainan tradisional sebagai salah satu kegiatan kokurikulum di sekolah. Kanak-kanak di peringkat prasekolah haruslah didedahkan kepada permainan tradisional bak kata peribahasaa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sehubungan dengan itu, pihak sekolah haruslah menubuhkan kelab permainan tradisional supaya para pelajar dapat disuntik ilmu tentang cara membuat alat permainan, cara bermain dan lain-lain lagi kepada pelajar. Pendedahan sedemikian dapat menyemarakkan semangat pelajar dan memahirkan diri mereka terhadap teknik bermain permainan tradisional, bak kata pepatah di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Justifikasinya, komitmen pihak sekolah dan usaha tersebut dapat menghidupkan kegemilangan permainan ini semula dalam kalangan generasi muda.

                Kesimpulannya, permainan tradisional haruslah dipelihara dengan baik supaya tidak pupus ditelan arus pemodenan. Oleh itu, semua pihak wajarlah mengamalkan nilai saling membantu dan bekerjasama, nilai bertanggungjawab dan nilai mengekalkan tradisi kekeluargaan untuk mengekalkan permainan tradisional. Dengan kerjasama semua pihak bagai aur dengan tebing, kita pasti boleh menguar-uarkan warisan bangsa yang tidak ternilai harganya ini agar masyarakat terus menghargainya dan mencintai permainan ini.

Comments

Unknown said…
So creative! I like it!

Popular posts from this blog

Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS) Tajuk 9: Industri Pelancongan

Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS) Tajuk 65: Alam Sekitar

Kebaikan dan Keburukan tentang Robot Kini