Rumah Terbuka

     Kita sedia maklum bahawa negara Malaysia terkenal oleh keunikan budaya yang tersendiri. Budaya rumah terbuka ini telah menjadi sinonim dalam kehidupan rakyat di negara kita dan telah diamalkan secara meluas saban tahun. Majlis rumah terbuka ini diadakan pada musim-musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, dan Tahun Baru Cina. Pelbagai kaum akan bersama-sama meraikannya malah pemimpin negara turut sama menjayakan program tersebut. Persoalannya, apakah kepentingan-kepentingan budaya rumah terbuka yang dijalankan di negara Malaysia?

                Realitinya, kepentingan-kepentingan budaya rumah terbuka termasuklah dapat mengukuhkan perpaduan antara kaum di negara. Hal ini dikatakan demikian kerana perpaduan kaum merupakan kunci kemakmuran dan keamanan sesebuah negara. Dalam erti kata lain, hubungan perpaduan perlu untuk keharmonian bangsa dan negara. Semasa majlis rumah terbuka diadakan semua kaum seperti kaum Melayu, Cina, India dan sebagainya akan bertemu dan berkenal-kenalan. Mereka pastinya akan berkomunikasi antara satu sama lain dan bertukar-tukar pengalaman sambil menikmati makanan dan minuman yang terhidang. Malah, mereka ada yang sempat bertukar-tukar nombor telefon untuk meneruskan silaturahim agar lebih rapat. Dengan ini akan dapat mewujudkan sikap bertolak ansur dan saling memahami sekali gus sikap toleransi antara sesuatu kaum dipererat. Secara tidak langsung, senario ini akan dapat merealisasikan konsep 1 Malaysia yang diuar-uarkan oleh pemimpin negara ini. Manifestasinya, rumah terbuka merupakan wadah perpaduan masyarakat majmuk di negara ini.

                Jika disingkap dari sudut yang lain, budaya rumah terbuka juga dapat meningkatkan semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana hidup berkeluarga dan bermasyarakat memerlukan sikap kerjasama yang tinggi. Contohnya, ahli keluarga atau masyarakat akan bermuafakat dalam melaksanakan sesuatu perkara seperti penyediaan makanan dan tempat sambutan rumah terbuka. Secara tidak langsung, kerja yang dilakukan sangat berkesan dan menjimatkan masa yang diibaratkan emas itu. Malah, sesuatu kerja berat dapat diringankan jika kerja tersebut dilakukan oleh orang ramai, bak kata peribahasa yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing dan bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat. Justifikasinya, sikap bekerjasama sebagai satu keluarga dapat disuburkan dalam sanubari masyarakat majmuk di negara ini.

                Dari dimensi yang lain, kepentingan budaya rumah terbuka yang seterusnya termasuklah keharmonian negara dapat dipertahankan. Hal ini berlaku kerana rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dapat hidup di bawah satu bumbung dang dapat memahami budaya kaum masing-masing. Malah, jati diri yang tinggi terhadap negara dapat diperkukuh. Dengan ini, negara tidak akan berada dalam keadaan yang kucar-kacir dan huru-hara. Kemeriahan dalam sambutan rumah terbuka juga mampu dikekalkan. Rakyat Malaysia akan saling menghormati budaya dan adat sesuatu kaum di Malaysia. Impaknya, rakyat akan berganding bahu menjaga kemakmuran negara dan tidak bersikap mementingkan diri sendiri, bak kata orang tua-tua, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Sudah terang lagi bersuluh bahawa budaya rumah terbuka dapat meningkatkan kecintaan rakyat kepada keamanan negara dan negara tetap utuh kemerdekaannya.

                Secara tuntasnya, majlis rumah terbuka menjadi satu amalan dan budaya masyarakat yang tinggi nilai budayanya. Sesungguhnya, permuafakatan dalam majlis ini perlu dijadikan asas penting perpaduan negara. Hal ini bermaksud kerjasama untuk menjayakan sesuatu program rumah terbuka harus dipertahankan. Dengan ini, negara kekal aman dan rakyat hidup bahagia tanpa berasa bimbang dan takut sekali gus kerukunan dan kemakmuran negara dapat dipertahankan untuk sekian lamanya.

Comments

Popular posts from this blog

Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS) Tajuk 9: Industri Pelancongan

Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS) Tajuk 65: Alam Sekitar

Usaha-Usaha Memajukan Industri Kraf Tangan